Follow us on: Group Alumni Tweet Us! Click Here! Let Watch Images!

Alumni SMKAS

Jubli Perak SMKA Segamat

hari ini, 03 Januari 2013



SELAMAT ULANG TAHUN KE-25
SMKA SEGAMAT - JUBLI PERAK


semoga SMKA Segamat terus cemerlang dan gemilang

semoga menjadi alumnis yang terbilang dan lebih berproduktiviti

"Pembina Generasi Islam"


tarikh 03 Januari ini diambil sempena tarikh guru-guru melaporkan diri dengan Pengetua, Ust. Hj. Paiman Jemo (Pengasas SMKA Segamat)



Perutusan Presiden Sempena Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah


PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1433 HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Salam 1Malaysia.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa liLlahil hamd.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia serta inayahnya, dapatlah kita menyambut Syawal dengan rasa gembira dan penuh kesyukuran. Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, maka tibalah kini untuk kita bersama-sama meraikan kemenangan seperti mana kemenangan menahan hawa nafsu dan ujian. Itulah sebenarnya fitrah manusia yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa.

Saudara saudari sekalian,
Pertubuhan Alumni SMKA Segamat, kini bergerak aktif dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti semenjak dirasmikan penubuhannya pada 12 November 2011 yang lepas. Walaupun ia adalah kesinambungan kepada usaha penubuhannya yang tertangguh pada tahun 1998 dahulu, akan tetapi semangat alumnis untuk memberikan kerjasama serta sokongan tidaklah dapat dinafikan. Ucapan jutaan terima kasih ditujukan khas terutamanya kepada barisan Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai generasi. Natijahnya, pendaftaran Pertubuhan telah pun disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada tarikh keramat 30 April 2012.

Sebagai memenuhi matlamat utama penubuhannya, Pertubuhan yang kini menjadi badan sokongan kedua kepada pihak sekolah selepas PIBG, usaha menganjurkan program serta aktiviti setiap bulan berjaya dilaksanakan. Antara yang paling mendapat sambutan ialah Program Perkongsian Ilmu Bersama Alumnis, Ceramah Kesihatan, ceramah agama sempena hari kebesaran Islam dan juga Majlis Bacaan Tahlil & Yaasin + Iftar Jamaie Alumni. Untuk pengetahuan juga, sempena Syawal ini, Trip Raya Alumni akan dijalankan dalam dua siri, iaitu sekitar daerah Segamat dan Batu Pahat. Program Berkampung 48 Jam di Bumi SMKAS juga telah giat dipromosikan dan akan menjadi program utama pada tahun ini.

Justeru, sukalah saya menyeru dan mengajak alumnis sekalian supaya turun padang bagi bersama-sama mengikut serta program dengan mendapatkan maklumat di laman blog, facebook dan juga twitter. Tibalah masanya untuk kita membalas apa jua kebaikan yang telah diberikan dan diperolehi daripada Sekolah yang amat kita cintai ini dengan menghulurkan apa jua sumbangan dan bantuan baik dari segi kewangan, kudrat, idea dan juga sokongan moral. Sebagai permulaannya tiada apa yang lebih utama melainkan ingin mengeratkan ikatan di antara generasi senior dan junior, maka penglibatan daripada semua generasi amatlah dialu-alukan tambahan pula di bulan kemenangan umat Islam ini. Saudara Saudari sekalian,

Bagi mengakhiri perutusan ini, saya mewakili semua Jawatankuasa yang terdiri daripada Majlis Tertinggi dan Exco-Exco, mengucapkan Salam Hari Raya Aidilfitri. Salah kita dengan Allah, kita bertaubat. Salah kita sesama manusia, kita pohon ampun dan maaf. Dengan kerendahan hati dan membuang ego yang menggunung, saya dan barisan Jawatankuasa Pertubuhan Alumni SMKA Segamat memohon maaf di sepanjang perkenalan di alam nyata ini.

Bagi alumnis yang akan mungkin dalam perjalanan atau pun akan pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Pastikan keselamatan diri dan kenderaan anda diutamakan. Manakala bagi yang tidak pulang ke kampung, samada berada di luar negara atau di tanah air sendiri, janganlah bersedih kerana peluang akan menyinar di lain masa. InsyaAllah, didoakan kepada semua agar selamat dan diberkati sepanjang Syawal ini walau dimana jua anda berada.

. Dengan izin Allah, kita terus berdoa, agar momentum ibadat kita berterusan dan pemahaman kita tentang hidup berTuhan semakin meningkat lalu menyedarkan hakikat kita hidup sebagai hamba Allah SWT. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Minal Aidil Wal Faizin. Semoga sepanjang tahun ini, kita berada dalam kebaikan-bikhair & diterima segala amalan kebajikan kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Shaifulizam Bin Jamaludin,
Presiden,
Pertubuhan Alumni SMKA Segamat

Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil + Iftar Jamaie Alumni

perkumpulan semula alumnis SMKA Segamat yang terdiri daripada generasi pertama, SPM 1992 hinggalah yg terkini, SPM 2011. Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin dan tahlil di Surau Hassan Al-Hasri dan disusuli dengan sesi perkenalan semua yang hadir. GPK HEM, Ust Sharifuddin Sulaiman juga turut hadir ketika sesi berbuka puasa buah tamar dan air. Kemudian jamuan Iftar Jamaie selepas solat Maghrib. Kehadiran Ust Zainal Abidin Bin Sakiran, iaitu Penaung Pertubuhan telah mengejutkan kami ketika sesi penggambaran dilakukan. Selesai solat Isyak dan tarawikh bersama pelajar putera dan puteri di surau, sesi moreh pula diadakan di kedai makan luar bersama-sama beberapa orang JK Pertubuhan.
sekalung tahniah bagi mereka yang dapat hadir, walaupun sambutan tidak mencapai seramai 50 orang, Pertubuhan tetap akan aktif menjalankan program.

Ceramah Ihya' Ramadan 1433

Program terakhir Pertubuhan sebelum Ramadan menjelang.
CERAMAH IHYA' RAMADAN yang disampaikan oleh Ust Mohd Faiz Bin Abidin, Pegawai Hal Ehwal Islam (Pentafsir Al-Quran) di Pejabat Agama Daerah Segamat.
Ceramah yang disampaikan lebih kurang 1 jam setengah itu telah diajukan pelbagai soalan daripada pelajar putera dan puteri, terutamanya mengenai hukum hakam perbuatan dan ibadah dimbulan Ramadan.
telah dihadiri oleh GPK HEM - Ust Sharifuddin Sulaiman, Ust Rumaja Sarmin, Ust Abdul Hadie dan Ust M Nazom juga sebagai Bendahari Kehormat bagi Pertubuhan. Selan itu, Timbalan Presiden 1 - Sdr Mohd Faisal Azizi, Timbalan Setiausaha - Sdr Lokman Aiman dan Exco Hal Ehwal Wanita - Pn. Aida Ab Samad juga hadir bagi pihak Jawatankuasa.

Mesyuarat JK Bil. 3 / 2012

sebahagian ahli JK Alumni ketika tamatnya Mesyuarat JK Bil. 3 / 2012 yg diadakan di Bilik Guru, SMKAS.
mesyuarat telah membincangkan mengenai program yg bakal diadakan pada bulan Ramadhan dan Syawal nanti, antaranya ialah Ceramah Ihya' Ramadhan, Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil + Iftar Jamaie Alumni dan juga Trip Raya Alumni sempena ziarah ke rumah mantan-mantan Pengetua.
selain itu, mesyuarat dapat memutuskan juga mengenai blog rasmi dan
laman sosial Facebook sebagai sumber maklumat kpd alumnis, dana infak alumni, pertandingan logo dan moto pertubuhan, t-shirt dan juga cadangan untk menjual barangan cenderamata jenama alumni.
telah dipengerusikan oleh Presiden - Ust Shaifulizam Jamaludin, dihadiri oleh Timbalan Setiausaha - Sdr. Lokman Aiman, Bendahari Kehormat - Ust Mohd Nazom, Exco Kebajikan dan Kerohanian - Sdr. Shahrizan, Exco Penyelidikan dan Dokumentasi - Sdri. Nur Amirah dan Exco Diplomasi dan Protokol - Sdri. Syukrina.

Forum: SMKAS Bumi Tarbiyah dlm Prog Perkongsian Ilmu Bersama Alumnis Siri 3

Sdr. Syeikh Umar Bagharib, SPM 2002 ketika forum dijalankan, sabil diperhatikan oleh Sdr. Izzat Naqib, PMR2005.

Pelajar putera dan puteri SMKAS.

Sdri. Syeril Nadia, SPM 2003 ketika memberikan sedikit tazkirah akhir.

Program Perkongsian Ilmu Bersama Alumnis Siri 3

14 JULAI 2012, telah diadakan satu Forum bertajuk SMKAS Bumi Tarbiyah di Surau Hassan Al-Basri, SMKAS.  Forum yang dipanelkan oleh tiga orang alumnis, telah diadakan selepas solat Maghrib yang dihadiri oleh semua pelajar putera dan puteri.

Panel pertama ialah Sdr. Muhammad Izzat Naqib Bin Md Yusof - PMR 2005, Sdr. Syeikh Umar Bagharib - SPM 2002 dan buat pertama kalinya alumnis wanita menjadi panel untuk program bersiri ini, iaitu Sdri. Syeril Nadia Binti Rosli, SPM 2003. Selama lebih kurang satu jam setengah, forum membincangkan mengenai pelbagai bidang yang telah dicapai oleh warga SMKAS dan juga beberapa motivasi dapat diselitkan.

Siri kali ini adalah yang terakhir pada tahun ini, telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha, Sdr. Lokman Aiman serta beberapa lagi alumnis dari generasi SPM 2007 & STPM 2009. semoga program seperti ini menjadi program tahunan buat alumni.

Hilangnya Sebutir Permata Alumnis

AL-FATIHAH buat Arwahyarham Kamaludin Bin Mokhtar yang telah pun kembali ke Rahmatullah pada 24 Mei 2012 lepas. Arwah merupakan bekas pelajar generasi SPM 1994 yang mana telah pun berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Muar.

Doktor telah mengesahkan bahawa Arwah meninggal disebabkan penyakit jantung di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. 

Jenazah telah selamat dikebumikan di Muar pada malam tersebut dengan suasana yang sedih dan hiba dengan dihadiri oleh sahabat-sahabat alumnis yang lain. Semoga Arwah ditempatkan dalam kalangan yang diredhai dan diberikan cahaya Ilahi. Amin.