Follow us on: Group Alumni Tweet Us! Click Here! Let Watch Images!

Alumni SMKAS

Sejarah Penubuhan

PERTUBUHAN ALUMNI SMKA SEGAMAT telah ditubuhkan pada 12.11.2011 dan didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 30.04.2012.




Pada asalnya, usaha menubuhkan alumni telah pun dilakukan pada tahun 1999 oleh generasi-generasi terawal yang diketuai oleh Mohd Faisal Azizi Mohamed Basir, SPM 1992 daripada Generasi Pertama. Majlis penubuhan tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 01 Mei 1999. Akan tetapi perjalanan tersebut terhenti disebabkan ramai daripada kalangan mereka sedang melanjutkan pelajaran dan ekonomi negara berada dalam kegawatan.



Hampir menjangkau 11 tahun kemudian, usaha menubuhkan semula alumni telah dicetuskan oleh beberapa bekas pelajar daripada Generasi Ke-16 - PMR 2005 & SPM 2007. Sebagai tamsilan, Program Perjumpaan Bekas Pelajar Bersama Pentadbir Sekolah telah dilaksanakan pada 05 Jun 2010 dengan objektif membincangkan peranan dan hala tuju serta cadangan menubuhkan alumni sebagai Pertubuhan. Usaha tersebut mendapat perhatian daripada pihak Pentadbir SMKA Segamat memandangkan sudah tiba masanya bekas pelajar mempunyai organisasi khas dan menjadi badan sokongan kedua selepas PIBG.



Pencarian wakil-wakil generasi telah pun dilakukan pada awal Julai 2011 oleh Mohamad Yazid Abdul Majid, SPM 1994 daripada Generasi Ke-3 dan Lokman Aiman Karjoo, SPM 2007 daripada Generasi Ke-16. Ia juga adalah gabungan usaha sama di antara seorang guru dan anak muridnya. Alhamdulillah, pada 20 Ogos 2011 satu Jawatankuasa Penaja Penubuhan Alumni SMKA Segamat telah pun dilantik dalam Mesyuarat Kali Pertama yang turut dihadiri oleh Ust Zainal Abidin Sakiran, GPK 1 ketika itu. Dengan persetujuan seramai 10 orang perwakilan, usaha yang bersungguh-sungguh itu telah mendapat sokongan penuh daripada Pengetua SMKA Segamat, Uzh Hjh Siti Esah Abd Latif. Shaifulizam Jamaludin, STPM 1996 daripada Generasi Ke-3 telah pun dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa.



Kesinambungan daripada itu, 17 orang lagi perwakilan telah dilantik dalam Mesyuarat Kali Kedua pada 10 September 2011. Pembentangan Draf Perlembagaan Pertama telah dilakukan dengan jayanya selain perancangan untuk mengadakan Majlis Perasmian & Mesyuarat Agung.



Mesyuarat Kali Ketiga pada 15 Oktober 2011, membincangkan perancangan dan persiapan untuk mengadakan satu majlis yang gilang-gemilang dan akan mengukir sejarah di mana upacara perasmian pertubuhan dijangka akan disempurnakan oleh Mantan Pengetua Pertama, Tn. Hj. Paiman Jemo. Antara usaha terakhir Jawatankuasa Penaja Penubuhan ialah pada 02 November 2011, diadakan pemantauan dan persiapan terakhir majlis.



Akhirnya, mencatat sejarah apabila Majlis Perasmian & Mesyuarat Agung Pertubuhan Alumni SMKA Segamat Kali Pertama dapat disempurnakan dengan jayanya pada 12 November 2011. Dewan Luqman Al-Hakim, menjadi saksi sebagai lokasi majlis dengan dihadiri oleh bekas-bekas pelajar daripada generasi pertama hingga ke-19.



Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Uzh Hjh Siti Esah Abd Latif, Pengetua SMKA Segamat yang menggantikan Tn. Hj. Paiman Jemo, Mantan Pengetua Pertama yang tidak dapat memenuhi jemputan disebabkan masalah kesihatan. Sejarah juga turut mencatatkan, Draf Perlembagaan Ketiga yang telah dibentang di peringkat Jawatankuasa Penaja Penubuhan dipersetujui dan diluluskan. Tambahan, seramai 6 orang ahli Majlis Tertinggi dan 9 orang ahli Majlis Exco serta seorang Juruaudit telah dipilih pada Mesyuarat tersebut. Majlis Exco kini dianggotai oleh 10 orang apabila permohonan bagi menambah satu lagi biro iaitu Biro Prauniversiti telah diluluskan pada 28 Julai 2012.



Kini, Pertubuhan yang diterajui oleh seorang Presiden dan 16 yang lain di bawah Jawatankuasa Pertubuhan Alumni SMKA Segamat sedang menjangkau usia 2 tahun dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan ahli serta warga SMKA Segamat.



Usaha mempromosikan Pertubuhan banyak dilakukan di laman sosial, seperti facebook dan twitter demi mengumpul semula data dan direktori pelajar yang kini mencecah seramai 4909 (setakat daftar pelajar tahun 2012). Alumnis yang berhasrat untuk menjadi ahli aktif boleh dilakukan secara online dan pembayaran hendaklah dibuat secara bank-in ke akaun Pertubuhan.