Follow us on: Group Alumni Tweet Us! Click Here! Let Watch Images!

Alumni SMKAS

Perutusan Presiden Sempena Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah


PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1433 HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Salam 1Malaysia.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa liLlahil hamd.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia serta inayahnya, dapatlah kita menyambut Syawal dengan rasa gembira dan penuh kesyukuran. Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, maka tibalah kini untuk kita bersama-sama meraikan kemenangan seperti mana kemenangan menahan hawa nafsu dan ujian. Itulah sebenarnya fitrah manusia yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa.

Saudara saudari sekalian,
Pertubuhan Alumni SMKA Segamat, kini bergerak aktif dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti semenjak dirasmikan penubuhannya pada 12 November 2011 yang lepas. Walaupun ia adalah kesinambungan kepada usaha penubuhannya yang tertangguh pada tahun 1998 dahulu, akan tetapi semangat alumnis untuk memberikan kerjasama serta sokongan tidaklah dapat dinafikan. Ucapan jutaan terima kasih ditujukan khas terutamanya kepada barisan Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai generasi. Natijahnya, pendaftaran Pertubuhan telah pun disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada tarikh keramat 30 April 2012.

Sebagai memenuhi matlamat utama penubuhannya, Pertubuhan yang kini menjadi badan sokongan kedua kepada pihak sekolah selepas PIBG, usaha menganjurkan program serta aktiviti setiap bulan berjaya dilaksanakan. Antara yang paling mendapat sambutan ialah Program Perkongsian Ilmu Bersama Alumnis, Ceramah Kesihatan, ceramah agama sempena hari kebesaran Islam dan juga Majlis Bacaan Tahlil & Yaasin + Iftar Jamaie Alumni. Untuk pengetahuan juga, sempena Syawal ini, Trip Raya Alumni akan dijalankan dalam dua siri, iaitu sekitar daerah Segamat dan Batu Pahat. Program Berkampung 48 Jam di Bumi SMKAS juga telah giat dipromosikan dan akan menjadi program utama pada tahun ini.

Justeru, sukalah saya menyeru dan mengajak alumnis sekalian supaya turun padang bagi bersama-sama mengikut serta program dengan mendapatkan maklumat di laman blog, facebook dan juga twitter. Tibalah masanya untuk kita membalas apa jua kebaikan yang telah diberikan dan diperolehi daripada Sekolah yang amat kita cintai ini dengan menghulurkan apa jua sumbangan dan bantuan baik dari segi kewangan, kudrat, idea dan juga sokongan moral. Sebagai permulaannya tiada apa yang lebih utama melainkan ingin mengeratkan ikatan di antara generasi senior dan junior, maka penglibatan daripada semua generasi amatlah dialu-alukan tambahan pula di bulan kemenangan umat Islam ini. Saudara Saudari sekalian,

Bagi mengakhiri perutusan ini, saya mewakili semua Jawatankuasa yang terdiri daripada Majlis Tertinggi dan Exco-Exco, mengucapkan Salam Hari Raya Aidilfitri. Salah kita dengan Allah, kita bertaubat. Salah kita sesama manusia, kita pohon ampun dan maaf. Dengan kerendahan hati dan membuang ego yang menggunung, saya dan barisan Jawatankuasa Pertubuhan Alumni SMKA Segamat memohon maaf di sepanjang perkenalan di alam nyata ini.

Bagi alumnis yang akan mungkin dalam perjalanan atau pun akan pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Pastikan keselamatan diri dan kenderaan anda diutamakan. Manakala bagi yang tidak pulang ke kampung, samada berada di luar negara atau di tanah air sendiri, janganlah bersedih kerana peluang akan menyinar di lain masa. InsyaAllah, didoakan kepada semua agar selamat dan diberkati sepanjang Syawal ini walau dimana jua anda berada.

. Dengan izin Allah, kita terus berdoa, agar momentum ibadat kita berterusan dan pemahaman kita tentang hidup berTuhan semakin meningkat lalu menyedarkan hakikat kita hidup sebagai hamba Allah SWT. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Minal Aidil Wal Faizin. Semoga sepanjang tahun ini, kita berada dalam kebaikan-bikhair & diterima segala amalan kebajikan kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Shaifulizam Bin Jamaludin,
Presiden,
Pertubuhan Alumni SMKA Segamat